Selepas Mohamez Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, nama pengacara sensasi Azwan Ali menjadi sebutan kerana dikatakan bakal menumpang tuah abangnya itu.
Bagaimanapun Azwan enggan mengulas kejayaan Azmin mahupun hubungan mereka, sebaliknya meminta agar semua pihak menghormati pendiriannya itu."Tolong hormat Azwan Ali!," ujarnya seperti dipetik dari Sinar Harian.
"Saya tidak mahu komen apa-apa lagi. Setiap pendirian saya itu, sudah tentulah ada sebab musababnya.
"Tolong hormati pendirian saya."
Azwan mengakui dia tidak pernah mengharap bantuan sesiapa untuk berjaya sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan tanah air ini.
"Semua pihak yang kecoh di alam siber, sebesar hama pun saya tidak hairan.
"Azwan Ali gah selama 27 tahun bukan kerana pertolongan mana-mana menteri besar," tambahnya.
Azwan sentiasa menjadi perhatian ramai kerana sering mencetuskan kontroversi dengan bersuara lantang di laman-laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.