Ketahui Kisah Penyanyi remaja popular sekitar penghujung 90an


Ketahui Kisah Penyanyi remaja popular sekitar penghujung 90an

Siapa yang dapat menyangkal populariti Dato' Siti Nurhaliza yang hangat tercetus pada awal kemunculannya di dalam arena seni hiburan tanah air semenjak pada tahun 1995 lagi.

Penyanyi yang berasal dari Temerloh, Pahang ini sememangnya menjadi kegilaan ramai ketika itu walaupun usianya baru belasan tahun dan popular dengan lagu hits seperti "Jerat Percintaan" dan "Aku Cinta Padamu" ketika itu.

Seiring dengan ledakan fenomena Siti, maka lahirlah beberapa penyanyi muda yang berbakat dan boleh menyanyi namun kemunculan mereka sering dipandang sebagai klon Siti akibat lenggok nyanyian yang seakan-akan sama dengan pelantun lagu Cindai itu.

Walaupun begitu, kehadiran mereka tetap diterima peminat yang menyedari akan keunikan mereka yang tersendiri dan ternyata mewarnai dan memeriahkan lagi industri muzik tempatan sekitar era penghujung 90an dan di awal tahun 2000.

Mari kita lihat siapakah gerangan penyanyi yang penulis maksudkan ini!

Siti Nordiana




Siti Nordiana Alias atau lebih mesra disapa dengan panggilan Nana merupakan seorang penyanyi yang berasal dari Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan yang dilahirkan pada 22 November 1984.

Penyanyi yang sering menyanyikan lagu-lagu pop Melayu dan tradisional ini terkenal dengan lagu-lagu nyanyian duetnya bersama Allahyarham Achik yang merupakan vokalis kumpulan Spin.

Di antara lagu duet mereka yang hits adalah seperti "Paling Comel", "Gurauan Berkasih", "Memori Berkasih", "Restu", "Resipi Berkasih" dan banyak lagi.

Selain itu, Nana juga turut dikenali ramai menerusi lagu solonya yang bertajuk "Cinta Hanya Sandaran", "Kasihmu Seakan Berubah", "Terpaut Sayang Padamu" dan lain-lain lagi. Mula aktif dalam karier seni bermula tahun 1999, kini Nana masih lagi aktif menyanyi dan sudah pun berhijab sepenuhnya sejak tahun 2011.

Syura




Pemilik nama sebenar Zuraidah Badron atau lebih dikenali dengan nama Syura ini begitu sinonim dengan lagu-lagu berunsur pop etnik, ghazal dan keroncong.

Tahun 2000 menjadi titik permulaan kerjaya sebagai penyanyi bermula apabila Syura ditawarkan menjadi artis di bawah Fantasia Music City (FMC) dan muncul dengan album pertamanya berjudul Aromaitu dan antara lagu hitsnya ketika itu adalah "Kasih Tidak Terjamah" dan "Rindu Ini Kesakitan". 

Selepas itu, Syura bergabung pula dengan Siti Nordiana dalam menghasilkan album tradisional dan gabungan mereka dilihat begitu serasi dalam lagu seperti "Bakawali", "Habibah Maisara" dan "Ghazal Bulan Di Riba".

Kemudian pada tahun 2002, Syura melangkah penuh yakin dengan berkolaborasi bersama penyanyi veteran terkenal Datuk M Daud Kilau dan antara lagu yang mendapat sambutan ramai adalah "Tenung Tenung Renung Renung" dan "Dendang Pusaka".

Walaupun pernah menyepi selama beberapa tahun, Syura muncul semula menerusi program realiti masakan MasterChef Selebriti Malaysia dan berjaya muncul sebagai juara. Terbaru, Syura sudah pun melancarkan single terbarunya berjudul "Gantung" dan "Ajari Aku" yang diterbitkan oleh Edry Abdul Halim.

Elyana




Penyanyi yang berasal dari Shah Alam, Selangor ini hadir memeriahkan industri seni tanah air dengan lagu hitsnya berjudul Niat.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal ini mula menceburi bidang nyanyian ketika usianya 14 tahun dan dirinya cukup bertuah apabila lagu pertamanya menjadi hits pada tahun 2011.

Walaupun popularitinya merudum selepas melahirkan album kedua yang agak kurang publisitinya, Elyana bangkit dengan pelancara album ketiganya yang menampilkan banyak karya hits seperti "Tak Tercapai Akalmu" ciptaan Aidit Alfian sehingga melayakkan diri ke pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu 21.

Selepas itu, Elyana turut menceburkan diri dalam bidang lakonan, dan di antara lakonannya yang masih diingati sehingga ke hari ini adalah menerusi drama komedi remaja berjudul "Dunia Baru" yang mendapat sambutan luar jangkaan dengan rating tertinggi mencecah 2.3 juta penonton.

Pernah dilamar sebagai duta produk jenama Converse, kini Elyana lebih selesa menyepikan dirinya dari bidang hiburan dan menumpukan sepenuh masanya terhadap keluarga tercinta.

Syazliana



Walaupun popularitinya tidak sehebat rakan seperjuangan yang lain, namun kehadiran penyanyi cantik ini tidak harus dipandang sepi.

Antara album yang pernah dirakamkan oleh penyanyi yang lahir pada tahun 1986 ini adalah "Singgahsana", "Demi Cinta", "Sinar Baru", "Debuan Kasih", "Masihkan Aku Merindu" dan "Syazliana". Antara lagu hitsnya adalah "Debuan Kasih", "Bahaduri", "Melupakanmu", "Dalam Alam Bercinta", "Janji Cinta" dan banyak lagi.

Pernah membuat kemunculan kembali pada tahun 2010 menerusi single terbaru berjudul "Kau Indah" hasil nyanyian bersama Azan Addin. Kini, dirinya lebih selesa menerajui syarikatnya sendiri iaitu Serinna Studio selaku Pengarah Urusan.

Syazliana sudah pun menamatkan zaman bujangnya pada awal tahun ini bersama rakan kongsi bisnesnya iaitu Muhammad Reza Jamalludin yang juga bertindak sebagai Pengarah Seni Reka Grafik di syarikat berkenaan.
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.



buttons=(Accept !) days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !