Majlis pertunangan Nur Afariza bersama Killian dibuat secara dalam talian pada 8 Ogos tahun lalu berikutan penutupan sempadan. FOTO Ihsan Nur Afariza Hanim
Jumpa cinta di Paris
Kuala Lumpur: Kesungguhannya mendalami Islam tanpa paksaan sudah cukup meyakinkan Nur Afariza Hanim Abdul Halim, 25, untuk memilih jejaka Perancis, Killian Castillon du Perron, 23 sebagai suami.Malah, suaminya yang dikenali sejak pertama kali pada 2016 ketika menuntut ijazah sarjana muda di Universiti Nice Sophia Antipolis, Nice, Perancis itu turut mencintai budaya melayu dan keunikan Malaysia.
Nur Afariza berkata, dia juga tidak menyangka bertemu jodoh di negara sinonim dengan jolokan kota cinta, Paris setelah lima tahun mengenali hati budi masing-masing.
"Sebelum jumpa Killian, saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin dengan orang luar. Tetapi perwatakannya yang sangat baik membuatkan saya jatuh hati.
"Dia juga suka budaya dan makanan negara kita dan tak kekok makan pakai tangan, makan durian atau nasi lemak.
"Bukan itu saja, dia usaha sendiri untuk belajar tentang Islam, beli buku dan jumpa ustaz sendiri tanpa disuruh," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Nur Afariza berkata, suaminya memeluk islam pada 2018 lalu sebaik saja selepas pertemuan pertama bersama keluarganya di Pulau Pinang.
"Dua bulan Killian tinggal di rumah keluarga saya di Pulau Pinang dan saya bawa dia jalan-jalan mengunjungi lokasi tumpuan seperti Bukit Bendera dan Persiaran Gurney, Georgetown, Kuala Lumpur, Cameron Highlands dan Melaka.
"Di Melaka, kami sempat melawat Masjid Selat Melaka dan waktu itulah Killian ambil masa melihat sendiri seni bina Islam dan budayanya," katanya.
Majlis perkahiwnan Nur Afariza bersama Killian dilangsungkan pada 21 September lalu di di Masjid As-Salam di Toulouse, Perancis.
Kongsinya, majlis pertunangan pada 8 Ogos 2020 dan perkahwinannya pada 21 September lalu terpaksa dibuat secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19.
"Sepatutnya Killian datang ke Malaysia Ogos tahun lalu tetapi disebabkan pandamik Covid-19 penerbangan dibatalkan dan Malaysia tutup sempadan untuk warga asing.
"Perkahwinan juga patutnya di Malaysia Disember ini namun melihat kepada situasi semasa tiada kelonggaran kemasukan warga asing, jadi kami teruskan melangsungkan perkahwinan di Perancis tanpa kehadiran keluarga saya," katanya.
Menurutnya, hanya lapan orang rakan senegaranya yang hadir menggantikan pihak keluarga di hari perkahwinannya di Masjid As-Salam di Toulouse, Perancis.
"Ibu, Hafisha Majid, 50 dan adik-beradik saya di Malaysia hanya dapat melihat menerusi panggilan video.
"Prosedur perkahwinan di sini amat berbeza kerana tiada akad nikah dibuat, cukup persetujuan kedua-dua pengantin.
"Sedih juga ayah, Abdul Halim Abdullah yang pergi empat hari selepas hari pertunangan saya tidak dapat melihat kami disatukan namun Alhamdulillah, Killian sempat meminta restu melalui abang saya," katanya.
Berkongsi mengenai pertemuannya bersama Tony Fernandes, Nur Afariza berkata, ia secara kebetulan ketika proses kahwin sivil di pejabat agama daerah Toulouse, Perancis.
"Kami terserempak dengan beliau pada 17 September lalu dan sempat mengambil gambar bersama.
"Beliau turut menyatakan keterujaannya dapat melihat sendiri pasangan Melayu-Perancis disatukan di sini," katanya.
Nur Afariza berkata, dia dan suaminya baru saja tamat pengajian peringkat Sarjana dalam bidang kejuruteraan dan merancang untuk tinggal di Perancis.
Momen indah Nur Afariza dan Killian di Perancis.
"Untuk perancangan selepas ini, kami akan pindah ke Nice, Perancis untuk Killian sambung pengajian dalam Doktor Falsafah selama tiga tahun. "Saya pula akan cari kerja disini dahulu. Lepas Killian habis belajar, mungkin kami akan cari peluang baru," katanya.
Sementara itu, Killian ketika ditanya mengenai pilihan hatinya itu berkata, perwatakan Nur Afariza yang membuatkannya jatuh hati. "Dia baik, bijak, cantik, penyayang dan banyak momen indah bersamanya. "Menjadi seorang muslim juga menjadikan saya lebih disiplin kerana waktu solat yang teratur," katanya.
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date