Pelakon Erin Malek menganggap sikap dan kelakuan manja dengan tunangannya Farriz Fauzy, 30, adalah perkara normal seperti yang dilakukan oleh pasangan kekasih yang lain.
Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, berkata, status selebritinya membuatkan segala tindak tanduk yang dilakukan lebih menjadi perhatian lebih berbanding pasangan lain."Kami seperti pasangan bercinta yang lain sahaja, cuma mungkin mereka bukan selebriti jadi tidak diberi perhatian, lagipun apa salahnya saya manja dengan tunang saya.
"Bila dah dekat-dekat dengan tarikh kahwin ini ada-ada sahaja cerita buruk yang keluar dan saya anggap ia dugaan sahaja," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.
Erin berkata demikian ketika diminta mengulas sebuah gosip diruangan pojok yang mendakwa dia dan pasangannya Farriz Fauzy berkelakuan manja 'sakan' hingga mengundang rasa tidak selesa orang ramai yang menghadiri sebuah acara Matta Fair minggu lalu.
Menurut laporan itu, Erin juga tidak menghiraukan sapaan yang dibuat oleh penulis ruangan pojok itu, malah bertindak lebih romantik apabila menerima teguran itu.
Jelas Erin, dia tidak pernah bersikap sombong dan tidak menghiraukan teguran daripada mana-mana pihak terutama orang yang dikenalinya.
Katanya, kemungkinan keadaan orang ramai yang bersesak-sesak di acara tersebut juga membuatkan dia kurang menyedari mana-mana teguran yang ditujukan kepadanya.
"Mana mungkin saya buat tidak tahu sahaja kepada orang yang menegur saya, terutama orang yang saya kenal. Mungkin saya tidak dengar ketika itu.
"Situasi di Matta Fair tempoh hari terlalu ramai orang, sehingga hendak jalan pun susah," ujarnya.
Dalam pada itu, Erin menganggap tuduhan tersbeut sebagai salah satu ujian kepadanya dalam menghitung detik bahagia bergelar isteri pada 9 Oktober depan.
Jelas Erin, dia enggan melayan dan memperbesarkan khabar angin buruk itu bagi mengelakkan daripada memberi tekanan kepada kedua-dua mereka menjelang hari perkahwinan tersebut.
"Saya sudah tahu akan ada cerita-cerita seperti ini, jadi saya awal-awal saya dan Farriz sudah bersedia tentang perkara-perkara buruk yang bakal kami hadapi."
"Saya tidak mahu ambil peduli sangat kerana tidak mahu ia akan memberi tekanan kepada kami banyak lagi yang perlu diuruskan," katanya.
Pasangan Erin dan Farriz mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 21 Jun lalu selepas empat bulan mengenali lelaki tersebut.
Sementara itu, Erin berkata, persiapan perkahwinannya sudah hampir siap dan dia kini mula mengedarkan kad undangan perkahwinanya kepada rakan-rakan terdekat.
Majlis pernikahannya akan berlangsung pada malam Jumaat, 9 Oktober depan di Hotel Intercontinantal, di Kuala Lumpur.
Manakala majlis resepsi diadakan keesokan hari diadakan di lokasi yang sama. ─ mStar online