Aktres jelita Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura bakal mencipta nama di persada antarabangsa apabila dia menjadi artis Malaysia pertama mempunyai program televisyen realiti sendiri yang akan disiarkan di saluran hiburan E! bermula pertengah Disember depan.
Memetik laporan Berita Harian, program dokudrama lima episod berjudul "Facing Up To Fazura" itu bakal mendedahkan kehidupan peribadi Fazura serta memperkenalkan ahli keluarganya buat pertama kali kepada khalayak.Walaupun bukanlah seorang yang bersikap terbuka dalam soal peribadi, aktres berusia 31 tahun ini memberitahu dia mempunyai alasan untuk menerima tawaran tersebut.
"Menerusi program itu nanti saya mahu mereka yang tidak mengenali diri saya akan lebih kenal siapa Fazura sebenarnya. Semua yang dipaparkan dalam program ini adalah realiti dan bukannya rekaan.
"Sejujurnya saya sangat terharu dan teruja apabila saluran E! mahu mengabadikan kisah saya dalam program terbitan mereka," ujarnya.
"Facing Up To Fazura" bakal diterbitkan oleh Karen Wiggins iaitu penerbit yang sama untuk program realiti keluarga selebriti dari Filipina, "It Takes Gutz To Be Gutierezz".