Aktres jelita Rozita Che Wan kecewa apabila dituduh tidak pandai menjaga anak dan gagal memberi didikan sempurna gara-gara kenyataan suaminya, Zain Saidin yang mengizinkan anak tirinya, Ammar Effendy, 18, keluar ke kelab malam.
Dipetik daripada laporan mStar, Rozita atau mesra dengan panggilan Che Ta kesal apabila kenyataan suaminya di sebuah laman blog telah dimanipulasi sehingga memberi tanggapan buruk terhadap dirinya."Saya marah apabila orang menuduh dan salahkan saya tidak pandai jaga anak, padahal mereka tidak tahu susah senang saya sebagai ibu TUNGGAL membesarkan anak-anak sendiri.
"Saya sudah beri didikan yang sebaik mungkin sehingga dia berjaya mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan menjadi pelajar terbaik di sekolah," ujarnya.
Malah Che Ta turut memberitahu, sebagai ibu kandung, dia lebih mengetahui apa yang dilakukan oleh anak-anaknya berbanding suaminya yang juga bapa tiri kepada mereka.
"Mereka sepatutnya tanya saya kerana saya ibu dia, jadi saya lebih tahu ke mana anak-anak saya pergi. Namun itu tidak bermakna dia tidak mengambil tahu dan peduli tentang mereka," katanya lagi.
Aktres berusia 41 tahun ini telah meluahkan rasa kecewanya menerusi laman sosial Instagram pada Ahad lalu mengenai tanggapan segelintir masyarakat terhadapnya, SERTA ada pihak yang membandingkan anaknya dengan seorang remaja bernama Ahmad Ammar yang mati syahid di Turki akhir tahun lalu.
Mengulas tentang membenarkan anaknya ke kelab malam, Che Ta menyangkal dakwaan tersebut dan memberitahu anak sulungnya itu tidak pernah ke pusat hiburan, sebaliknya hanya memberi keizinan untuk keluar melepak bersama kawan-kawannya pada waktu malam sahaja.
Selain Ammar Effendy, Che Ta turut mempunyai seorang lagi anak lelaki hasil perkahwinannya terdahulu iaitu Aniq Ezzra, 16.