Pelakon Zed Zaidi dengan secara rasmi telah dipilih sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 yang berlangsung di Datara Karyawan FINAS, Kompleks Studio Merdeka semalam sekaligus menewaskan dua calon lain iaitu Datuk Mustapha Maarof dan Afdlin Shauki.
Dipetik dari Sinar Harian, jawatan Timbalan presiden pula telah dimenangi ileh Zack (Kool) yang berjaya menewaskan Sabri Fadil, Afdlin Shauki dan Sofea Jane.Dalam pada itu, Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abd Jamil berkata, dia tidak perlu berkempen atau memancing undi kerana yakin pemilihannya bagi menerajui persatuan itu berdasarkan usahanya sebelum ini yang banyak menaikkan nama SENIMAN.
"Saya tak berkempen pun. Apatah lagi berkempen dalam diam. Tetapi ahli-ahli persatuan boleh lihat usaha saya sebelum ini macam mana.
"Bagi saya jawatan itu tidak penting sebaliknya pergerakan persatuan perlu berjalan dengan betul bagi membantu ahli-ahli SENIMAN lain," katanya yang dipetik dari mStar.
Sebelum ini Zed pernah memegang jawatan Presiden dalam persatuan itu pada AGM ke-14 sebelum ia dibatalkan atas perintah mahkamah pada 21 November tahun lalu.
Sementara itu, Zed meluahkan rasa bersyukurnya apabila AGM kali ini memperlihatkan pembabitan artis-artis popular yang mahu melihat kebangkitan semula SENIMAN.
"Saya rasa inilah kali pertama melihat AGM Seniman disertai oleh artis-artis popular, bukannya veteran sahaja.
"Tambahan pula barisan AJK juga dilihat daripada kalangan artis yang pelbagai. Saya harap agar persatuan ini dapat menjadi kukuh dalam membangunkan industri.
"Bukan hanya mahu membantu artis-artis veteran yang susah tetapi juga artis baru yang saya percaya turut mempunyai masalah-masalah tersendiri berhubung industri kita."