Aktres Izreen Azminda menjelaskan kehadiran bekas suaminya, Muhammad Riza Baharuddin di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 30 September lalu adalah untuk menyelesaikan kes tuntutan hak penjagaan anak mereka, Muhammad Umar Adrian, yang kini berusia setahun tiga bulan.
Dipetik daripada laporan mStar, Izreen memberitahu dia turut hadir pada hari tersebut bagi menyelesaikan kes berkenaan serta menuntut nafkah edah sebanyak RM500 setiap bulan dan anak iaitu RM800 sebulan.
"Saya tidak tahu jika dia ke mahkamah tersebut pada tarikh lain, tetapi jika ada wartawan melihatnya pada 30 September lalu, memang dia ada di sana bagi kes tuntutan anak. Saya juga berada di situ," ujarnya.
Aktres berusia 29 tahun ini bersyukur kerana mahkamah memutuskan hak penjagaan anak lelaki mereka diberikan sepenuhnya kepadanya.
Walaupun tidak menghalang bekas suaminya bertemu dengan Umar, Izreen bertegas tidak membenarkan anaknya bermalam dengan RIza kerana bimbang dia tiada masa untuk menjaganya.
"Buat masa ini, jika dia ingin berjumpa dengan Umar, ia perlu dibawah pengawasan saya sendiri atau dengan wakil saya yang boleh dipercayai.
"Bukannya apa, Riza pun sibuk dengan pelbagai kerja-kerja penggambaran, takut jika dia tiada masa untuk menjaga Umar. Mungkin selepas beberapa tahun kemudian, saya akan membenarkan dia bermalam dengan Umar," kata Izreen.
Sebelum ini satu ruangan pojok akhbar mingguan melaporkan beberapa wartawan telah melihat Riza, 31, mengambil borang di kaunter mahkamah syariah tersebut, tetapi menghilangkan diri selepas menyedari mereka memerhatinya.
Izreen dan Riza telah mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2012 di Alor Setar, Kedah dan bercerai pada 9 Jun 2014.