SEORANG pengguna laman sosial membuat permohohanan maaf terbuka kepada pelakon, Syafie Naswip selepas memfitnah pelakon itu di laman Twitter, semalam.
Wanita yang menggunakan akaun @aliaamsyra dan dikenali sebagai Aisyah Sakura, 21, menulis status seolah-olah melihat pelakon itu dalam video sekumpulan lelaki didakwa golongan Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT) seperti yang dikongsikan seorang lagi pengguna laman sosial itu.Aisyah dalam video itu mengakui kesilapan dan berjanji tidak akan mengulangi perkara sama.
“Assalamualaikum, saya Aisyah Sakura berumur 21 tahun. Saya buat video ini untuk meminta maaf kepada Abang Syafie Naswip sebab saya sudah tulis sesuatu yang buatkan Abang Syafie Naswip terasa di laman sosial Twitter.
“Saya ingin betul-betul meminta maaf dan semua itu adalah kesalahan saya. Saya tak berfikir apa yang saya tulis. Apa saya tulis sama sekali tak betul dalam video itu tak ada langsung rupa wajah Abang Syafie Naswip.
“Saya betul-betul ingin meminta maaf. Saya janji takkan buat lagi,” katanya.
Sementara itu, Syafie berkata dia menerima permohonaan maaf Aisyah.
“Maafmu diterima adik. Cuma jangan buat lagi. Jadikan pengajaran bukan untuk adik seorang tetapi untuk semua agar berhati-hati ketika menulis di media sosial,” katanya.
STATUS yang dikongsi Syafie di Instagram miliknya.
Terdahulu, Syafie menerusi komen yang dibalas kepada Aisyah di Twitter mahu mengambil tindakan undang-undang kerana dianggap memfitnah dirinya.
“Yang mana macam saya? Awak pernah rasa nak disaman dan dimalukan satu Malaysia tak? Kalau nak saya boleh bawa komen awak ini kerana memfitnah saya di media sosial.
“Saya sudah ‘screenshoot’ awak punya komen dan link Twitter awak,” tulis Syafie.