Pergelangan tangan kanan pelakon Nur Fazura melecur akibat terkena percikan minyak panas ketika memasak.
Ketika dihubungi, pelakon filem Dendam Pontianak ini memberitahu, insiden berlaku ketika dia sedang memasak.
“Secara tiba-tiba minyak panas meletup lalu terkena tangan kanan saya.
“Sebelum ini, tidak pernah pula berlaku, tapi benda hendak jadi. Fattah banyak kali mengajak saya ke hospital. Tapi mengenangkan keadaan sekarang dan bimbang hendak ke hospital pada waktu kritikal begini, saya cuba ubati sendiri,” katanya.
Menurut Fazura atau lebih mesra disapa Faz, pada awalnya dia takut melihat ada gelembung pada pergelangan tangan berikutan percikan minyak panas itu.
Namun, selepas memecahkan gelembung berkenaan dan menyapu ubat pada bahagian yang melecur, ia mula menunjukkan perubahan positif.
“Selepas saya pecahkan gelembung itu dan sapu minyak gamat, Alhamdulillah, nampak kesan luka itu semakin mengering. Terima kasih kepada peminat yang memberi pelbagai petua untuk diamalkan… Saya sangat menghargainya,” katanya.
Masih trauma dengan insiden di dapur, penyanyi yang popular dengan lagu Sayangi Dirimu ini berkata, dia berehat seketika daripada aktiviti memasak.
“Dapur akan ‘ditutup’ buat masa ini. Suami pun tak bagi saya masak dan dia nasihatkan saya berehat sahaja,” kata pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia (FMM) Ke-27 ini.