Bekas ibu mertua tak halang Jimmy Shanley ambil anak
Bekas ibu mertua pengacara dan penyampai radio Jimmy Shanley, Datin Muniroh menafikan beliau dan suaminya Datuk Suhaimy Othman menghalang Jimmy mengambil cucu mereka Zahra Rania Shanley, 3, tetapi hanya membenarkan Jimmy sendiri mengambil Zahra dan bukannya diwakilkan orang lain.
"Suami saya hanya mahu Jimmy sendiri datang ambil," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.Pada masa sama Muniroh juga tidak menghalang jika Jimmy mahu bermalam dengan cucunya sekiranya Rania tidak menangis.
"Jimmy akan menghubungi kami dua hari sebelum datang mengambil anak, tapi Zahra Rania tetap menangis."
Hakim Syarie, Mawardi Che Man yang mendengar penjelasan Muniroh kemudian telah menangguhkan prosiding dan akan disambung semula pada 27 Oktober depan.
Pada 7 Mei 2013, Jimmy telah memfailkan permohonan perintah komital (pemenjaraan) terhadap bekas isterinya Nursuhaila Eliani, 25, yang didakwa melanggar perintah Mahkamah Tinggi Syariah membabitkan hak lawatan dan bermalam dengan anak perempuan tunggalnya.
Dalam permohonan tersebut, Jimmy turut mendakwa tidak dapat berjumpa dengan anaknya walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah membenarkan hak lawatan dan bermalam dengan anaknya.