Juara Miss Malaysia World 2014, Dewi Liana Seriesta kesal apabila terdapat pihak yang mempertikaikan penyertaannya dalam pertandingan ratu cantik kerana menyangka dia beragama Islam.
"Ketika memenangi pertandingan Miss Malaysia World 2014 pada Jun lalu ramai yang mempertikaikan penglibatan saya dalam pertandingan itu.
"Saya faham wanita beragama Islam tidak dibenarkan menyertai pertandingan itu dan saya juga sudah jelaskan kepada mereka bahawa saya beragama Kristian sejak kecil lagi," katanya kepada mStar.
Tambah Dewi lagi, kekeliruan yang berlaku apabila nama yang diberikan oleh ibu bapanya seperti nama yang sering diguna oleh orang Melayu.
"Bapa saya berasal dari Indonesia dan berketurunan Cina, manakala ibu saya dari Sarawak sebab itu nama saya tiada binti seperti nama orang Islam.
"Saya memang tiada sebarang masalah dengan nama ini dan saya anggap ia sebagai unik, cuma ramai yang keliru tentang agama sahaja."
Sementara itu, bekas peserta rancangan "Mentor" ini turut berkata, dia masih meneruskan kerjaya nyanyiannya dengan memenuhi undangan, malah baru-baru ini dia telah memenangi lima kategori utama pada pertandingan "World Championships of Performing Arts" (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat Julai lepas.