Bekas suami kepada penyanyi Syura, Mohd Fadhly Md Yassin akui masih mempunyai perasaan cinta terhadapnya dan mahu merujuk kembali bagi memulakan kehidupan baru bersama tiga cahaya mata mereka yang sedang membesar.
Memetik laporan mStar, Mohd Fadhly, 33, berkata, mereka telah sah bercerai talak satu pada September lalu, tetapi dia telah merujuk secara lisan pada bulan lepas."Sejak dari awal saya tidak pernah terfikir untuk bercerai tetapi perkara sudah berlaku dan saya sudah pun merujuk dengannya secara lisan bulan lalu.
"Tetapi nampaknya dia tetap dengan pendiriannya untuk berpisah dan saya masih berusaha untuk memenangi kembali hati dia," ujarnya.
Pada 10 November lalu, Mohd Fadhly yang merupakan seorang guru telah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan lafaz rujuk yang dibuat terhadap Syura secara lisan, tetapi kes tersebut ditangguhkan kerana Syura gagal hadirkan diri pada sidang tersebut.
Sebutan semula kes tersebut telah ditetapkan pada 20 Januari 2015 oleh Hakim Syarie Ab Malek Awang.
Akui hidup terasa kosong tanpa kehadiran isteri serta perceraian tersebut memberi kesan kepada anak-anak mereka, Mohd Fadhly bagaimanapun redha sekiranya Syura yang merupakan juara program "MasterChef Selebriti Malaysia" musim kedua ini masih tetap dengan pendiriannya.
"Sekiranya tiada lagi jodoh diantara kami, saya akan memohon pertukaran sekolah di Johor supaya dapat membesarkan anak-anak yang kini di bawah jagaan ibu saya," katanya. .